Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mayat kanak-kanak lelaki ditemui membusuk dalam kereta di Labuan

LABUAN: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar lapan tahun ditemui dalam keadaan sudah membusuk di dalam sebuah kenderaan di belakang sebuah premis di Kawasan Pertama Industrial Estate, Jalan Arshad, pada pagi Sabtu (22 Nov).

Kejadian disedari seorang mekanik bengkel berhampiran kira-kira jam 8.45 pagi ketika beliau hendak mengalihkan kereta jenis sedan tersebut, namun terhidu bau busuk yang mencurigakan dari dalam kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pemeriksaan lanjut pihak polis menemui mayat kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu telah berada di lokasi tersebut sejak bulan Jun. Identiti mangsa telah dikenal pasti dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, tiada unsur jenayah dikesan setakat ini, namun polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Exit mobile version