Site icon TUHAU BAMBANGAN

Warga emas dikhuatiri hilang, ditemui meninggal dunia di Kiulu

TAMPARULI: Seorang warga emas berusia 87 tahun yang dilaporkan hilang awal pagi tadi, ditemui meninggal dunia kira-kira 30 meter dari rumahnya di Kampung Bayag Kiulu, Tamparuli.

Penemuan itu dilaporkan oleh pasukan operasi yang digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan pada petang Sabtu.

Menurut Komander Operasi, PBK II Willaffreddie Bangot, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran menerima panggilan daripada PDRM Tuaran pada jam 3.30 petang memaklumkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tidak ditemui di biliknya sejak jam 6.00 pagi.

Mangsa, yang merupakan pesakit prostat dan memakai beg air kencing, dilaporkan hilang oleh anaknya sendiri.

Enam anggota BBP Tuaran dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.31 petang.

Tidak lama kemudian, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko atau bahaya lain di lokasi kejadian.

Exit mobile version