Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki hilang ketika menyelam ditemui maut di Pulau Bum-Bum, Semporna

SEMPORNA: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan di perairan Pulau Bum-Bum sejak semalam, ditemui meninggal dunia pada petang Khamis.

Mangsa ditemui oleh ahli keluarganya sendiri di kawasan Pancang Pusingan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Komander Operasi, PBK II Mohd Nor Marasik, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna menerima panggilan kecemasan daripada APMM Semporna pada jam 9.00 pagi berhubung kehilangan mangsa yang berlaku pada 19 November 2025.

Susulan itu, lima anggota bomba dikerahkan ke lokasi menggunakan sebuah bot Kevlar dan tiba pada jam 10.09 pagi bagi mendapatkan maklumat serta memulakan pencarian.

Operasi SAR hari pertama berdepan cabaran gangguan liputan GIRN dan talian telefon, namun pencarian diteruskan di sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.

Pada hari kedua, operasi diteruskan pada jam 8.20 pagi bersama pasukan penyelamat daripada APMM Semporna, APM dan PDRM.

Penemuan mangsa dilaporkan pada jam 4.13 petang apabila keluarganya menemui mayat di kawasan Pancang Pusingan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin.

PDRM kemudian mengesahkan kematian mangsa dan menyerahkan mayat untuk tindakan lanjut.Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang.

Mangsa merupakan lelaki berstatus Pemastautin Tetap di daerah berkenaan.

Exit mobile version