KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa keyakinan GRS untuk mencapai majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025 adalah berdasarkan rekod pencapaian nyata kerajaan negeri sepanjang lima tahun mentadbir, bukan retorik politik atau janji kosong.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada USIA di Menara Kinabalu pada Khamis, beliau menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan pembangunan ketara adalah bukti kukuh yang harus dinilai rakyat.
“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah. Banyak sektor ekonomi meningkat, program kebajikan diperluaskan,” katanya.
Menurut Hajiji, kerajaan telah memberi perhatian kepada pembangunan modal insan termasuk penyediaan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah dengan peruntukan RM1.3 bilion dalam tempoh hampir lima tahun.
“Biasiswa kita tambah, bantuan pendidikan kita perluaskan. Ini usaha nyata, bukan cakap kosong,” ujarnya.
Beliau turut menyorot kejayaan lain seperti termeterainya perjanjian penting dengan PETRONAS, peningkatan hasil negeri daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion, serta pertambahan rizab negeri daripada RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion.
Selain itu, hampir 100,000 rakyat kategori E-Kasih menerima bantuan SYUKUR sebanyak RM300 sebulan, termasuk pelbagai inisiatif perumahan di bawah Rumah Mesra SMJ.
Mengulas kritikan pembangkang, Hajiji menyifatkan serangan mereka sebagai tidak berasas kerana mereka sendiri pernah berada dalam kerajaan tetapi gagal menunjukkan prestasi setanding.
“Kita sudah berada di landasan yang betul. Saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan. Lihat bukti prestasi nyata kerajaan GRS dalam lima tahun ini,” tegasnya.
Beliau turut menjawab isu berkaitan masalah air, menegaskan bahawa punca sebenar adalah tindakan kerajaan terdahulu yang menamatkan konsesi air sehingga menyebabkan Sabah terpaksa menanggung bayaran RM315 juta.
“Jika tidak kerana pembatalan itu, RM315 juta boleh kita guna untuk jalan kampung, jambatan kampung dan lain-lain keperluan rakyat,” katanya.
Hajiji juga menolak fitnah kononnya kerajaan GRS terlibat dalam rasuah, menyifatkannya sebagai serangan bermotif politik jahat.
“Apa yang rasuah? Kita potong ataupun batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral… Itu (dakwaan) semua mempunyai motif politik yang jahat,” katanya.
“Sebab itu keluarlah video-video itu. Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini?” tegasnya.

