Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kompleks sukan Tongod disambung awal tahun depan, kontraktor baharu akan dilantik – Masiung

TONGOD: Kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai sejak kontraktor asal ditamatkan perkhidmatannya pada Julai lalu dijangka disambung semula seawal awal tahun hadapan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini berada di fasa akhir penyediaan dokumentasi bagi melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan projek bernilai RM7 juta itu.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Kempen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tongod, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, kontraktor asal yang dilantik ketika kerajaan terdahulu gagal mematuhi jadual kerja walaupun telah diberikan empat kali lanjutan masa, sekali gus memaksa KBS menamatkan kontrak tersebut.

“Kami beberapa kali memberi amaran dan empat kali melanjutkan tempoh, namun kemajuan fizikal tetap tidak memuaskan. Akhirnya, KBS mengeluarkan arahan menamatkan kontrak kerana projek langsung tidak bergerak mengikut perancangan,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan pembangkang yang menjadikan isu tersebut bahan kempen, sedangkan kontraktor yang gagal berprestasi itu dilantik ketika mereka memegang tampuk kuasa.

“Saya tidak persoalkan kroni siapa, tetapi sesiapa pun yang dilantik sepatutnya berdaya maju dan menyiapkan kerja mengikut jadual. Jangan pula salahkan orang lain bila kontraktor pilihan sendiri tidak buat kerja,” katanya.

Mengulas kemajuan pembinaan setakat ini, Masiung berkata, prestasi fizikal projek itu amat mengecewakan sejak tahun lalu, menyebabkan banyak komponen masih belum siap.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa penyelesaian sudah dikenal pasti dan kontraktor baharu akan dilantik awal tahun depan bagi menyiapkan baki kerja termasuk pembinaan trek sukan, serta penyambungan bekalan elektrik dan air.

“Saya yakin projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas kerja disambung. Kontraktor baharu hanya perlu menyiapkan beberapa komponen akhir yang tertangguh,” jelasnya.

Projek Kompleks Sukan Tongod dilihat penting sebagai kemudahan sukan moden yang akan memberi manfaat kepada belia dan masyarakat setempat setelah sekian lama menanti penyempurnaannya.

Exit mobile version