KOTA KINABALU: Gelombang sokongan baharu memihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malam tadi apabila seramai 300 ahli Parti Warisan Sepanggar mengumumkan keluar parti dan menyertai komponen dalam GRS, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau.
Pengumuman itu dibuat dalam program Ramah Mesra Rakyat di Kampung Kalansanan, yang turut dihadiri calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU-17).
Kumpulan berkenaan diketuai oleh Sabar Dasad, bekas Ahli Jawatankuasa Warisan Bahagian Sepanggar, yang menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Warisan di kawasan itu.
Dalam pada itu, Razali yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau dalam sidang medianya berkata, keputusan Sabar dan ratusan penyokongnya bukan langkah mudah, tetapi lahir daripada penilaian jujur mengenai masa depan politik kawasan Sepanggar dan Darau.
“Sabar sudah sembilan tahun bersama Warisan. Anda boleh lihat keikhlasan dalam bahasa badan dan ekspresi wajahnya. Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi atas kesedaran bahawa perubahan perlu dilakukan untuk komuniti,” kata Razali.
Beliau menambah bahawa tindakan tersebut mencerminkan perubahan sentimen rakyat yang mahukan kepimpinan berkesan dan berorientasikan pembangunan.
“Sabar menyaksikan sendiri kerja yang dibuat oleh GRS. Dia percaya parti ini adalah pemacu terbaik untuk membawa perubahan dan pembangunan di Darau,” katanya.
Razali turut menepis dakwaan di media sosial bahawa GRS adalah kerajaan yang gagal. Menurutnya, rekod menunjukkan sebaliknya.
“Yang gagal ialah mereka yang hanya bercakap. Kita bekerja, kita menyampaikan. Beza kita dan mereka ialah kerja, bukan retorik,” tegasnya.
Ditanya mengenai kemungkinan kemasukan ahli parti lain selepas ini, Razali tidak menafikan perkara tersebut tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

