KUDAT: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat melaksanakan operasi bantuan mengangkat mayat di Empangan Milau petang tadi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang melalui talian balai.
Komander Operasi, PBK I John Francis Andam berkata, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi menggunakan jentera FRT dan kenderaan VIGO, sejauh 45 kilometer dari balai.
Pasukan tiba pada jam 4.33 petang dan mendapati satu mayat lelaki berusia sekitar 40 tahun terapung berhampiran tebing sungai.
“Pasukan kemudian menjalankan operasi mengangkat mayat menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan identitinya masih belum dikenal pasti.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.00 petang setelah semua prosedur selesai.

