KOTA KINABALU; “Cukup-cukuplah tukar kerajaan, tiba masanya kita bersatu dan maju bersama.” Itu penegasan Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohamed Razali Razi@Bob yang menekankan bahawa kesinambungan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 adalah faktor paling kritikal bagi memastikan pembangunan negeri tidak lagi terganggu akibat politik yang tidak stabil.
Bercakap kepada media selepas pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 pada Isnin (17 Nov), Razali menyifatkan manifesto baharu itu sebagai “menyeluruh dan realistik”, merangkumi pembangunan ekonomi, peluang untuk anak muda, pemberdayaan wanita serta tumpuan utama memastikan kelangsungan SMJ 2.0.
Menurut calon GRS bagi kerusi DUN Darau itu, rakyat Sabah telah terlalu lama berhadapan dengan kesan pertukaran kerajaan yang kerap sehingga banyak agenda pembangunan tergendala.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan adalah kunci untuk memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa diganggu oleh perubahan politik.
“Manifesto ini menyeluruh… tetapi yang paling penting ialah kesinambungan SMJ 2.0. Kita tidak boleh kehilangan haluan ini. Matlamat kita adalah kestabilan. Jangan lagi tukar-tukar kerajaan, nanti yang rugi adalah rakyat,” katanya.
Mengulas isu tiga serangkai air, elektrik dan jalan raya, Razali menegaskan bahawa kerajaan sedia ada sudah lama menjalankan pelbagai usaha penyelesaian, dan ia bukan sekadar janji manifesto.
“Sebelum manifesto pun, banyak projek sedang dan sudah dilaksanakan. Tahun depan banyak yang siap. Ini bukan retorik, ia sedang berlaku di lapangan,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pertukaran kerajaan berpotensi melambatkan projek, menukar kontraktor serta menyebabkan perancangan tergendala, sekali gus merugikan rakyat.
“Sampaikan kepada rakyat Sabah, cukup-cukuplah. Sudah tiba masanya kita bersatu dan maju bersama. Jangan biarkan kita kembali ke zaman tidak stabil,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) menepis dakwaan terdapat penyokong akar umbi parti itu di kawasan seperti Lamag dan Sukau beralih sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan tiada laporan rasmi diterima.
“Shifting? Kita belum terima laporan. Tidak boleh komen tanpa bukti,” katanya.

