Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sindiket seludup sisik/cengkerang penyu tumpas di Semporna, nilai rampasan lebih RM14 ribu

SEMPORNA: Usaha berterusan pihak berkuasa membanteras penyeludupan hidupan liar membuahkan hasil apabila satu sindiket menyeludup sisik serta cengkerang penyu tumpas dalam Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan oleh pasukan Risik/Task Force Batalion 22 PGA Kunak bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah, pada Sabtu lalu (15 Nov).

Operasi hasil risikan awal itu menyasarkan sebuah premis di Bandar Semporna yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan jual beli barangan hidupan liar dilindungi.

Setibanya di lokasi, pasukan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menjalankan pemeriksaan terhadap dua individu di dalam premis berkenaan.

Pemeriksaan awal menemui beberapa barangan mencurigakan sebelum pasukan dibawa ke satu bahagian dalam premis tersebut untuk siasatan lanjut.

Hasilnya, satu kotak berwarna coklat bertulis “Happy Boom Glow Of Sunset” yang mengandungi 570 keping sisik/cengkerang penyu pelbagai saiz dengan anggaran berat 17.8 kilogram ditemukan.

Barangan tersebut disyaki diperoleh melalui aktiviti penangkapan atau penyeludupan hidupan liar yang dilindungi.

Susulan penemuan itu, kedua-dua individu terbabit ditahan, manakala semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Salah seorang daripada mereka turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM14,240.00.

Operasi bersepadu ini menegaskan komitmen Batalion 22 PGA bersama agensi berkaitan dalam mempertingkat risikan dan pemantauan terhadap sindiket penyeludupan hidupan liar, demi memastikan biodiversiti Sabah kekal terpelihara dan kawasan tanggungjawab bebas daripada ancaman jenayah hidupan liar

Exit mobile version