TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipercayai tokan yang aktif di kawasan Merotai tumpas selepas diberkas dalam satu serbuan di kawasan perkampungan Batu 4, Jalan Apas, Tawau petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga asing berusia lingkungan 30-an itu diberkas hasil risikan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau yang mengesan pergerakannya sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, suspek cuba melarikan diri dengan melanggar kenderaan polis namun berjaya dipintas dan ditahan oleh anggota di lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sebuah beg tangan mengandungi 11 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 54.40 gram, dengan nilai anggaran berjumlah RM5,500.
Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati, suspek yang juga tidak mempunyai pekerjaan tetap positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
Sementara itu, hasil siasatan awal mendapati, suspek merupakan salah seorang tokan yang aktif di sekitar kawasan kampung Merotai.
Jelas ACP Jasmin, suspek direman mulai esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi sebarang penglibatan dengan najis dadah dan segera menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran agar daerah Tawau kekal selamat daripada ancaman dadah.

