KOTA BELUD: Laungan “Kita Lawan” bergema di perkarangan Dewan Masyarakat Tun Said Keruak pada pagi Sabtu apabila ribuan penyokong mengiringi bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan, untuk menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.
Fairuz hadir dengan sokongan besar penyokong berpakaian baju-T hitam, hanya sehari selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada parti.
Beliau mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pintasan dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah telah diterima pejabat parti pada jam 2.45 petang.
Tindakan itu berlaku selepas Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Razi, pagi kelmarin menegaskan bahawa mana-mana ahli yang bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU DUN Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.
Fairuz bagaimanapun tetap memilih untuk mempertahankan kerusi Pintasan atas tiket Bebas.
Fairuz merupakan penyandang kerusi berkenaan selepas memenangi PRN-16 pada tahun 2020 dengan majoriti tipis 84 undi, menewaskan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Untuk PRU-17 kali ini, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi laluan kepada Pandikar sebagai calon, sekali gus menggugurkan nama Fairuz daripada senarai calon parti.
Keputusan Fairuz bertanding sebagai calon Bebas mengubah dinamika saingan di Pintasan apabila beliau kembali ke gelanggang dengan sokongan akar umbi yang jelas tidak berkurang, sebagaimana terpancar melalui sorakan “Kita Lawan” yang mengiringi ketibaannya pada Sabtu.
Selain dua calon utama itu, kerusi DUN Pintasan juga bakal memperlihatkan sembilan lagi calon termasuk Tadzul Radim (Barisan Nasional), Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Abdullah Otong (Warisan), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku) dan Almudin Kaida (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).
Turut bertanding Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah), serta tiga calon bebas: Rizal Saiman, Tajuddin Padis dan Syarif Shukree Danchingan.

