Site icon TUHAU BAMBANGAN

Masiung pertahan kerusi Kuamut, hadapi saingan 8 penjuru termasuk artis veteran, Ampal

KINABATANGAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah sekali lagi mempertahankan kedudukannya apabila sah bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berdepan saingan sengit lapan penjuru selepas tujuh calon lain mengesahkan pencalonan masing-masing di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini, pagi tadi.

Antara pencabarnya ialah Norfaiza Chua (Warisan), Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (UPKO), artis veteran Sabah Abu Bakar Ellah (PKDM), Jecronnue Mandek (STAR), John Sungkiang (PPRS), Ted Calvin Sudin (PIS) dan calon Bebas, Duin Bintarang.

Masiung, 53, tiba di pusat penamaan calon seawal pagi dan menjadi antara yang terawal menyerahkan borang pencalonan tepat jam 9.13 pagi.

Kehadirannya disambut lebih 1,000 penyokong yang berarak sambil melaungkan slogan “Tatap Kalaga” dengan memakai pakaian serta lambang GRS.

Pada PRN ke-16, Masiung bertanding sebagai calon Bebas dan memenangi kerusi Kuamut dengan majoriti 978 undi sebelum menyertai Gagasan Rakyat.

Pengurus Pilihan Raya kawasan Kuamut, Mohd Yuesri Yusof, mengesahkan semua calon layak bertanding selepas melalui proses semakan dan saringan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dengan saingan pelbagai parti dan individu, perebutan kerusi Kuamut dijangka menjadi antara yang paling menarik perhatian dalam PRU Sabah kali ini.

Exit mobile version