Site icon TUHAU BAMBANGAN

1 maut, 1 cedera, lori bawa minyak masak terbabas di Jalan Ranau

TAMPARULI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan minyak masak terbabas di Jalan Ranau berhampiran Murug-Turug Eco Tourism (MTET) Tamparuli, petang tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor bAmit, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 tengah hari melalui talian MERS999 sebelum sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 24 kilometer dan tiba pada jam 1.39 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori jenis Nissan 10 tan membawa muatan minyak masak telah terbabas sendiri ke bahu jalan. Terdapat dua mangsa lelaki terlibat; seorang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi berusia 18 tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala mangsa yang tercampak keluar dibawa naik menggunakan stretcher oleh pasukan penyelamat.

“Mangsa cedera diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

Insiden tersebut turut melibatkan kerjasama daripada tiga anggota KKM dan tiga anggota polis.

Exit mobile version