KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.08 Pintasan pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Nanamun di sini yang dianjurkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Sabah, Tadzul Radim, semalam.
Menurut Bung Moktar, semua calon yang dicadangkan mempunyai kelayakan dan potensi tersendiri, namun parti akan membuat penilaian berdasarkan kebolehmenangan dan penerimaan rakyat.
“BN akan memilih calon terbaik yang mampu menang dan membawa suara rakyat. Saya menyeru semua jentera parti supaya kekal bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan BN bergantung kepada semangat perpaduan akar umbi dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti dalam membangunkan Sabah.
Sementara itu, penduduk tempatan berharap calon yang bakal dipilih kelak dapat menumpukan perhatian kepada isu pembangunan asas dan ekonomi komuniti setempat.
Muhammad Nur Fikri Halim Thakdim, 21, seorang pengusaha ikan dari Kampung Pintasan, berkata mereka berharap wakil rakyat yang terpilih akan benar-benar turun padang dan memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Jamlan Makuntang, menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan dan pertanian, memandangkan kedua-dua sektor itu mempunyai potensi besar di kawasan Pintasan.
Langkah BN untuk bertanding di kerusi DUN Pintasan menandakan komitmen parti tersebut untuk terus memperkukuh kehadirannya di kawasan pantai barat utara Sabah menjelang PRU-17 akan datang.

