Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bandaraya KK cerminan kemajuan Sabah, raih Anugerah Smart City 2025

PUTRAJAYA: Bandaraya Kota Kinabalu terus membuktikan kemampuannya sebagai simbol kemajuan dan kemodenan Sabah apabila berjaya meraih pengiktirafan Smart City Early Adopter 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bandar raya terkehadapan di Malaysia dalam pelaksanaan inisiatif bandar pintar dan pembangunan mampan.

Pengiktirafan berprestij ini diumumkan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Amar Fadillah Yusof, dan turut dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merupakan salah satu daripada 27 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara yang menerima pengiktirafan di bawah Anugerah Penarafan Smart City Malaysia 2025.

Pengiktirafan tersebut diterima oleh Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, disaksikan oleh Tantinny Fung Chew Li, Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya, bersama pegawai-pegawai Jabatan Perancangan Bandaraya DBKK.

Menurut kenyataan DBKK, pengiktirafan ini adalah hasil komitmen dan usaha berterusan pihaknya dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bandar pintar yang menumpukan kepada kecekapan perkhidmatan, kelestarian alam sekitar, dan kesejahteraan komuniti bandar raya.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat peranan DBKK sebagai peneraju utama agenda Smart City di Sabah, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) ke arah pembangunan bandar moden yang lestari, berdaya saing dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Exit mobile version