Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Pok Mau Potong Corner” – Armizan sekolahkan Azis Jamman mengenai isu pindaan Akta LHDN

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menempelak Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, yang didakwa cuba memutarbelit fakta mengenai pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533).

Menurut Armizan, dakwaan Azis kononnya pindaan tersebut mencerminkan kegagalannya adalah “auta Warisan” yang bertujuan mengelirukan rakyat Sabah dan menutup kejayaan sebenar GRS bersama Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hak Sabah di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kalau bukan kerana beliau (Azis), saya hampir terlupa bahawa pindaan Akta LHDN pada 2023 itu sebenarnya salah satu lagi contoh track record pencapaian GRS yang wajar dikongsi kepada Sabahan.

“Tapi biasalah, pok mau potong corner, carilah perkara yang boleh dipolemikkan. Itu auta Warisan, tapi fakta adalah sebaliknya,” tegas Armizan di sini, pada Jumaat.

Armizan menjelaskan, sebelum ini Akta LHDN tidak memperuntukkan keanggotaan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam lembaga tersebut.

Namun hasil inisiatif di bawah Majlis Khas MA63, yang diterajui bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, isu pelantikan wakil Borneo States akhirnya diangkat semula berdasarkan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

“Hasil rundingan antara Kerajaan Persekutuan, GRS di Sabah, dan GPS di Sarawak, pelantikan pertama wakil Sabah ke LHDN, Datuk Petrus Gimbad telah dibuat pada 1 September 2022 atas syor Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Agenda ini tidak pernah dibawa semasa Warisan mentadbir dan tidak wujud dalam Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 yang mereka sertai. Kalau benar Warisan penyelamat Sabah, kenapa perkara ini tidak dimasukkan ketika mereka berkuasa?” soal Armizan.

Armizan turut menjelaskan bahawa sebaik pentadbiran Kerajaan Madani dibentuk, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan laporan status isu-isu MA63 disediakan.

Dalam tempoh sebulan, Armizan membentangkan Nota Jemaah Menteri dan seterusnya Memorandum Jemaah Menteri yang membawa kepada keputusan meminda Akta LHDN bagi mewujudkan peruntukan tetap pelantikan wakil Sabah dan Sarawak secara berinstitusi.

Pindaan ini dibentangkan oleh Kementerian Kewangan pada Jun 2023, dan selepas perbincangan dengan semua pihak, teks akhir memperuntukkan pelantikan dibuat oleh Menteri Kewangan “setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.”

“Pendekatan ini membolehkan pelantikan dibuat sama ada dari kalangan penjawat awam atau profesional, dengan syarat wajib berunding dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya.

Armizan turut menyindir Warisan yang dikatakan ketandusan modal politik apabila menjadikan isu teknikal Rang Undang-Undang (RUU) LHDN sebagai serangan peribadi.

“Kalau Datuk Azis anggap teks asal RUU itu kesalahan saya, adakah beliau juga hendak salahkan Datuk Amar Fadillah, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63? Atau hendak salahkan Perdana Menteri sendiri kerana RUU itu di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan?” katanya.

Beliau menambah, tidak seperti Warisan yang suka menuntut nama sebagai “penyelamat Sabah”, GRS memilih untuk membuktikan hasil melalui tindakan dan kerjasama antara kerajaan.

“Saya tidak cari kemenangan peribadi, tetapi kemenangan untuk rakyat Sabah. Pindaan ini bukan sekadar victory for Sabah, tetapi juga victory for the federation, bukti kita menjunjung nilai federalisme yang diwarisi daripada pejuang terdahulu.

“Saya tidak pernah cakap saya pandai, sebab saya tidak pernah belajar tujuh tahun di England seperti Presiden Warisan. Tapi saya tahu beza antara fakta dan auta,” tegasnya.

Armizan menegaskan bahawa GRS akan terus komited memperjuangkan hak Sabah secara rasional dan berlandaskan perundangan, bukan melalui retorik dan politik emosi.

“Kami di GRS tidak gah menggelar diri penyelamat Sabah. Hasrat kami ialah untuk mengajak rakyat bersatu, Rumah Kita, Kita Jaga,” ujarnya.

Exit mobile version