KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menjelaskan bahawa individu bernama Tei Jiann Cheing, atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, ditolak masuk ke Sabah selepas didapati tidak mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan di bawah Notis Arahan Sekatan (NAS) yang masih berkuat kuasa.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil siasatan mendapati insiden itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada kelmarin (23 Okt), selepas Albert Tei hadir di pintu masuk dan memaklumkan kepada pegawai bahawa tujuannya ke Sabah adalah untuk bertemu rakan.
“Semasa pemeriksaan dokumen, nama individu berkenaan didapati tersenarai dalam rekod NAS yang masih aktif. Pegawai bertugas kemudian menemu bual beliau, dan hasil temu bual mendapati tiada sebarang bukti atau dokumen sokongan dikemukakan bagi tujuan kemasukan ke Sabah selain mengakui tujuan kedatangannya ke Negeri Sabah adalah untuk bertemu rakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Sitti Saleha, semakan lanjut mendapati NAS terhadap Albert Tei hanya membenarkannya masuk ke Sabah bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah. Namun, ketika pemeriksaan, beliau gagal mengemukakan sebarang surat panggilan mahkamah atau bukti berkaitan.
“Disebabkan itu, pegawai bertugas telah mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM) mengikut peruntukan di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan kawalan khas bagi kemasukan ke Malaysia Timur,” jelasnya.
Tambah beliau, Albert Tei pernah dibenarkan masuk ke Sabah pada September 2025 selepas mengemukakan surat panggilan mahkamah kepada pegawai bertugas. Hal ini menunjukkan beliau sedia maklum tentang prosedur kemasukan yang perlu dipatuhi selaras dengan status NAS yang dikenakan.
Sehubungan itu, JIM menolak dakwaan peguam Albert Tei di Mahkamah Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2025 yang menyatakan anak guamnya dihalang daripada menghadiri prosiding mahkamah.
“Dakwaan tersebut tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Tindakan pegawai JIM dibuat sepenuhnya mengikut Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta berpandukan undang-undang dan maklumat yang dikemukakan semasa pemeriksaan,” katanya.
JIM Sabah turut menasihatkan mana-mana individu yang tertakluk kepada NAS supaya mematuhi syarat kemasukan dan menyediakan dokumen lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk negeri.
“Jabatan akan terus komited memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara, dengan menegakkan prinsip profesionalisme, integriti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan perkhidmatan,” tegasnya.

