Site icon TUHAU BAMBANGAN

Parti Anak Negeri tawar manifesto minyak RM1 seliter & hospital di setiap Parlimen

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mengumumkan akan bertanding di 55 kerusi Dewan Undangan Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 akan datang, dengan tawaran utama manifesto ialah pemberian minyak RM1 seliter kepada rakyat sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

Pengarah Pilihan Raya Anak Negeri, Jismit Japong berkata, keputusan bertanding di hampir semua kerusi itu dibuat selepas menilai kekuatan jentera, sokongan akar umbi serta kesiapsiagaan calon di seluruh negeri.

“Kami percaya inilah masa terbaik untuk rakyat Sabah memilih parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak negeri tanpa bergantung kepada parti luar. Anak Negeri sudah bersedia menjadi suara rakyat di semua kawasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jismit berkata, antara teras utama manifesto parti itu ialah pemulihan hak 40 peratus hasil Sabah, pemberian minyak RM1 seliter, pembinaan hospital di setiap kawasan Parlimen, serta pelaksanaan pendidikan dan perumahan percuma kepada rakyat negeri ini.

Beliau menegaskan manifesto itu bukan janji kosong tetapi pelan realistik yang boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri dibentuk dengan semangat perjuangan rakyat Sabah.

“Kita mahu mengembalikan maruah dan kuasa rakyat Sabah. Anak Negeri bukan parti kecil, kami gerakan rakyat yang membawa mesej perubahan dan kebangkitan sebenar,” tegasnya.

Tambahnya, Anak Negeri kini turut menarik penyertaan ramai anak muda dan profesional yang mahu melihat politik Sabah bebas daripada pengaruh pusat serta berteraskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami tidak mahu Sabah terus menjadi pemerhati kepada keputusan di Putrajaya. Masa untuk rakyat negeri ini menentukan nasib sendiri sudah tiba,” katanya.

Parti Anak Negeri dijangka akan mengumumkan senarai penuh calon tidak lama lagi, termasuk beberapa tokoh berprofil tinggi yang dijangka mewarnai saingan sengit pada PRU kali ini.

Exit mobile version