KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, mesej peribadi, atau saluran komunikasi tidak rasmi lain yang menggunakan nama agensi berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, SSMJ memaklumkan pihaknya telah mengesan beberapa cubaan penipuan yang menggunakan nama rasmi sekretariat tersebut untuk memperdaya orang awam.
“Untuk makluman, SSMJ tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan, geran, atau skim khas kepada orang awam melalui mana-mana saluran tidak rasmi. Sebarang hebahan atau tawaran rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau portal rasmi SSMJ,” jelas kenyataan itu di sini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah mempercayai mesej mencurigakan yang menggunakan nama SSMJ, selain tidak berkongsi maklumat peribadi atau melakukan sebarang transaksi kewangan kepada pihak tidak dikenali.
Orang awam yang menerima mesej mencurigakan diminta segera membuat laporan kepada pihak polis bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
SSMJ turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan platform media sosial rasmi SSMJ.
Kenyataan itu menegaskan bahawa SSMJ komited memastikan orang ramai tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang mencemarkan nama baik sekretariat berkenaan.

