SOOK: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Sinaran, Kampung Sinaron Tengah, di sini awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, PBK I Maimin Yabin, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 6.58 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi sejauh 60 kilometer.
“Sebaik tiba pada jam 8.21 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang terbabas sendiri di bahu jalan. Tiga mangsa lelaki dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan semasa kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, dua mangsa berusia 39 dan 47 tahun mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Seorang lagi mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” jelasnya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.47 pagi.

