Site icon TUHAU BAMBANGAN

Buaya gergasi sepanjang 17 kaki berjaya ditahan, ditembak dalam tempoh 24 jam di Merotai

TAWAU: Penduduk Kampung Pangkalan Asli, Merotai kini menarik nafas lega selepas empat ekor buaya termasuk seekor gergasi sepanjang 17 kaki berjaya ditahan dan ditembak oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) dalam tempoh 24 jam hasil operasi bersepadu semalam.

Maklumat mengenai kejayaan operasi itu dikongsikan oleh Tan Sri Liew Yun Fah, menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut beliau, maklumat awal diterima daripada Ketua Kampung Pangkalan Asli, Mohammad Fakir yang menyatakan operasi itu dijalankan selepas aduan daripada nelayan tempatan yang bimbang dengan kemunculan buaya besar berhampiran kawasan sungai kampung tersebut.

Buaya berkenaan dipercayai sering muncul di kawasan sungai utama dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat, khususnya mereka yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki.

Tan Sri Liew berkata, kejayaan itu membuktikan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat amat penting dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti luar bandar.

“Tindakan pantas JHL amat wajar dipuji kerana berjaya memastikan keselamatan penduduk terjamin dan ancaman reptilia ini dapat dikawal segera,” katanya.

Exit mobile version