KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony mengumumkan keluar parti dan bakal menubuhkan satu parti baharu dalam masa terdekat.
Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu turut disertai seorang lagi wakil rakyat WARISAN iaitu ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim.
Peter dalam sidang medianya di sini hari ini berkata, keputusannya untuk keluar WARISAN adalah kerana pihaknya menganggap perjuangan parti berkenaan sudah tersasar.
“Kami percaya perjuangan WARISAN tersasar apabila beralih pergi ke Kuala Lumpur dan rata-rata pengundi orang Sabah mahukan parti yang betul-betul mempertahankan atau berada sebagai sebuah parti tempatan di Sabah ini.
“Saya dan YB Datuk Juil umum keluar dari WARISAN untuk kebaikan negeri Sabah kerana perjuangan ini bukanlah perjuangan perseorangan, ini adalaah perjuangan untuk rakyat.
“Menjadi wakil rakyat adalah tanggungjawab kita untuk membela rakyat. Tetapi apabila kita berseorangan atau tidak bersama dengan pemimpin-pemimpin yang ada terutama di Sabah, bagaimana kita mahu bantu rakyat yang susah ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang sudah didaftarkan dan dijangka diumumkan secara rasmi awal Januari depan.
Untuk rekod, Peter berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar.
Beliau juga ADUN keempat WARISAN yang bertindak keluar parti tahun ini selepas ADUN Sebatik Hassan A. Gani Pg Amir; ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama Datuk Mohamaddin Ketapi.
Sumber: UB