TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mengugut anak jirannya dengan sebilah parang dalam kejadian di Felda Umas, Kalabakan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi apabila mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, terlihat suspek menghampirinya sambil memegang parang sebelum bertindak melarikan diri pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan.
Menurut beliau, ibu mangsa yang panik selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu segera membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan keluarganya.
“Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek berusia 48 tahun di rumahnya di Felda Umas sekitar jam 5.30 petang hari sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ACP Jasmin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah di Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi dan Tawau,” tambahnya.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
ACP Jasmin turut menegaskan, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak mengancam keselamatan awam.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan perbuatan agresif yang boleh membahayakan diri dan masyarakat,” katanya.

