Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Saksi mengaku, marah & jerit ‘sial, bodoh’ pada malam Zara disoal siasat

KOTA KINABALU: Prosiding Inkues kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner pada Rabu (16 Okt) mendengar keterangan seorang saksi pelajar senior yang juga ketua dorm asrama, yang mengakui dirinya marah dan menjerit perkataan kesat “bodoh” dan “sial” pada malam kejadian 15 Julai ketika Zara disoal siasat mengenai kes kecurian.

Pasukan peguam keluarga Zara memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak ke-14 (deponen ke-23) itu mengesahkan, dia mengenali Zara sebagai pelajar Tingkatan 1 yang tinggal di aras sama.

Pada malam kejadian kira-kira jam 10 malam, saksi dimaklumkan oleh pelajar junior bahawa kad ATM dan wang tunai sebanyak RM300 telah hilang dan Zara disyaki terlibat.

Zara kemudiannya disoal oleh beberapa pelajar senior berhubung tiga kes kehilangan barang termasuk dompet, kad ATM, wang tunai, dan pin bendera milik saksi sendiri.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa dia membenarkan pelajar junior melakukan spot check terhadap beg Zara walaupun tindakan itu tidak biasa dilakukan.

Saksi turut mengesahkan dia berada dalam bilik semasa pemeriksaan dilakukan namun tidak memantau proses tersebut.

Menurutnya, seorang pelajar junior mendakwa menemui pin bendera di dalam beg Zara, namun saksi tidak memastikan ketepatan dakwaan itu. Saksi kemudian membawa pin berkenaan ke bilik Zara dan menyoal mangsa di hadapan kira-kira lima hingga enam pelajar lain.

Ketika Zara menafikan tuduhan mencuri, saksi mengaku marah dan menjerit “bodoh, sial” sebanyak dua kali sebelum keluar bilik.

Selepas sesi soal siasat tidak sampai sejam itu, Zara dilihat menangis dan berbaring di lantai sebelum meninggalkan bilik sekitar jam 12.30 pagi.

Beberapa pelajar lain memaklumkan Zara dilihat menangis di tandas aras sama sebelum suasana asrama menjadi kecoh sekitar jam 4 pagi.

Dalam perkembangan lain, Pakar Pemeriksa Tulisan dan Dokumen, Dr. Linthini Gannetion turut hadir bagi menjalankan sesi kedua pemeriksaan tulisan dan dokumen yang akan bersambung pada 16 dan 17 Oktober ini.

Exit mobile version