Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: Buang undi 29 November, penamaan calon 15 November

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 akan diadakan pada 29 November 2025 (Sabtu), susulan pembubaran DUN Sabah Ke-16 pada 6 Oktober lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh-tarikh penting lain termasuk Hari Penamaan Calon pada 15 November (Sabtu) dan Hari Undi Awal pada 25 November (Selasa).

Manakala katanya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025.

“Bagi tujuan PRU kali ini, SPR melantik 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 196 Penolong Pegawai Pengurus serta menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dengan keanggotaan daripada PDRM, PBT dan wakil calon.

“Sebanyak 940 pusat mengundi akan digunakan, merangkumi 3,645 saluran dengan penglibatan seramai 33,002 petugas pilihan raya. Anggaran kos keseluruhan PRU DUN Sabah Ke-17 ialah RM116.8 juta,” katanya.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan sehingga Ogos 2025, melibatkan 1,784,843 pemilih terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan, dan 12,729 anggota polis serta pasangan PGA.

Semakan maklumat pengundian boleh dibuat mulai 1 November melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau talian Hotline SPR 03-8892 7018.

Permohonan undi pos bagi kategori 1A, 1B dan 1C dibuka sejak 13 Oktober dan akan ditutup antara 21 Oktober hingga 12 November 2025.

SPR turut mengalu-alukan penyertaan agensi kerajaan, NGO serta badan bebas sebagai pemerhati pilihan raya, dengan permohonan dibuka hingga 27 Oktober 2025 melalui portal rasmi SPR.

Kempen kesedaran “Jom Kita Undi” akan digerakkan bagi menggalakkan pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi. SPR juga akan menyiarkan secara langsung proses pengundian di saluran terpilih menerusi Facebook rasmi SPR.

Exit mobile version