Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Guru tahu kewujudan MA & MB, saksi dedah pernah kena MA ketika masih junior

KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-12 (deponen ke-21) hari ini mendedahkan kepada Mahkamah Koroner bahawa guru-guru sekolah mengetahui mengenai kewujudan dua bentuk perjumpaan tidak rasmi di asrama yang dikenali sebagai Mesyuarat Asrama (MA) dan Mesyuarat Bilik (MB).

Pendedahan itu dibuat saksi pada prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di hadapan hakim koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi yang juga pelajar di asrama sama dengan Allahyarhamah memaklumkan bahawa MA merupakan perjumpaan beramai-ramai antara pelajar senior dan junior, manakala MB hanya melibatkan pelajar-pelajar dalam bilik yang sama.

Menurutnya, amalan tersebut telah lama wujud dan biasanya dilakukan oleh pelajar senior terhadap pelajar junior selain saksi mengakui bahawa beliau semasa masih bergelar junior dia juga pernah dikenakan MA oleh senior.

Saksi turut memberitahu bahawa pada malam 15 Julai 2025, beliau bersama seorang rakan telah dipanggil oleh pelajar senior lain untuk menegur Zara berhubung dakwaan kes kecurian kad bank dan lencana bendera. Zara bagaimanapun katanya menafikan tuduhan itu.

Saksi kemudian meninggalkan bilik sekitar jam 10.30 malam kerana mengantuk dan hanya mengetahui tentang kejadian tragis (Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah asrama) itu apabila dibangunkan sekitar jam 4 pagi selepas asrama menjadi kecoh.

Dalam keterangannya, saksi juga menyatakan bahawa pelajar tidak pernah diberikan sebarang peranan oleh pihak sekolah untuk menyiasat atau menghukum rakan lain yang disyaki bersalah.

Beliau turut mengakui pernah menjadi mangsa kekasaran pelajar senior lebih daripada sekali ketika menjadi junior, termasuk dimarahi dan dipanggil dengan kata-kata kesat seperti “bodoh” dan “sial”.

Saksi memaklumkan pernah membuat laporan kepada guru dan warden berhubung kekasaran yang berlaku, namun tidak pasti sama ada sebarang tindakan diambil.

Exit mobile version