Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Negeri salur RM260,000 & bina semula SAN Pekan Tambunan yang terbakar

TAMBUNAN: Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan bantuan berjumlah RM260,000 bagi membantu proses pemulihan Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan yang musnah dalam kebakaran pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bantuan tersebut melibatkan RM200,000 daripada Kerajaan Negeri, RM50,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan RM10,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Bantuan itu katanya, akan digunakan bagi menggantikan perabot dan kelengkapan sekolah yang rosak akibat kebakaran.

Selain itu, Hajiji memaklumkan bahawa kerajaan juga telah bersetuju untuk membina semula bangunan baharu SAN Pekan Tambunan bagi memastikan para pelajar dapat kembali belajar dalam suasana yang selesa dan selamat secepat mungkin.

“YKS turut menyampaikan bantuan kepada pelajar asrama dan murid yang terjejas akibat kebakaran ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini selepas meninjau sendiri tapak sekolah berkenaan pagi tadi.

Hajiji menegaskan bahawa langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak Sabah terus dijaga tanpa mengira lokasi mereka.

Kebakaran yang berlaku pada Ahad lalu telah memusnahkan sebahagian besar bangunan sekolah termasuk bilik darjah dan asrama, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Exit mobile version