Site icon TUHAU BAMBANGAN

Cinta ditolak, disyaki punca pelajar lelaki tikam pelajar perempuan berkali-kali dalam tandas sekolah

KUALA LUMPUR: Luahan perasaan ‘cinta’ ditolak, disyaki antara punca seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun (Tingkatan 2) bertindak menikam rakan sekolah, iaitu pelajar perempuan berusia 16 tahun (Tingkatan 4) hingga maut dalam kejadian tragis di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pagi tadi.

Menurut rakan-rakan sekolah, tindakan suspek dipercayai berpunca daripada rasa marah selepas pengakuan perasaannya terhadap mangsa yang dibuat malam sebelumnya ditolak.

“Kami diberitahu dia meluahkan perasaannya kepada mangsa malam tadi dan naik marah apabila mangsa tidak membalas perasaan yang sama,” kata seorang pelajar yang enggan dikenali.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.10 pagi apabila suspek dikatakan menahan mangsa di dalam tandas sebelum menikamnya berkali-kali menggunakan objek tajam.

Seorang saksi berkata, mangsa cuba melawan tetapi tidak sempat diselamatkan.

“Dia memegang senjata dan mula menikam mangsa berkali-kali,” katanya.

Beberapa pelajar yang mendengar jeritan mangsa segera berlari memanggil guru disiplin.

Guru berkenaan kemudian menendang pintu tandas beberapa kali sebelum berjaya memecahkannya, namun suspek sempat melarikan diri sambil membawa pisau.

“Selepas itu, dia berlari masuk ke beberapa kelas Tingkatan Satu sambil memegang pisau yang berlumuran darah. Semua orang menjerit dan berlari keluar menyelamatkan diri,” kata saksi berkenaan.

Suasana panik itu hanya reda selepas abang kepada suspek bersama beberapa guru berjaya menahannya dan merampas senjata yang digunakan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Polis mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version