Site icon TUHAU BAMBANGAN

JPJ lancar ‘perang’ terhadap kenderaan bawa muatan lebih had, termasuk di Borneo

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi bersepadu secara besar-besaran bagi membanteras kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan, bermula malam ini hingga 31 Disember depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, operasi yang digerakkan di seluruh negara itu merupakan langkah tegas kerajaan dalam menangani sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan undang-undang dalam kalangan pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan.

Menurut beliau, operasi berkenaan akan dijalankan di lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo dengan setiap negeri menggerakkan empat pasukan penguat kuasa.

Secara keseluruhan, sebanyak 12 pasukan akan beroperasi aktif di setiap zon dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi.

“Fokus utama operasi ini ialah kawasan hotspot yang sering menjadi laluan kenderaan membawa muatan berlebihan seperti batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak khususnya di kawasan kuari, pelabuhan serta sektor industri berat,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di sini, hari ini.

Loke menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang melanggar had muatan yang ditetapkan di bawah syarat lesen kenderaan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan.

“Setiap tahun kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk membaiki jalan raya, tetapi lihatlah keadaan jalan kita terutama berhampiran kawasan perindustrian dan pelabuhan. Keretakan dan lubang di jalan raya banyak berpunca daripada kenderaan yang membawa muatan berlebihan,” tegasnya.

Beliau berkata, operasi itu juga bertujuan mendidik pengusaha dan pemandu agar lebih bertanggungjawab serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain tidak terjejas akibat kelalaian pihak tertentu.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version