KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan kewujudan satu amalan membimbangkan dalam kalangan pelajar asrama yang dikenali sebagai “barcode”, iaitu perbuatan menoreh lengan menggunakan pisau pemotong (cutter).
Pasukan peguam keluarga Zara memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak ke-13 (deponen ke-22), yang juga pelajar asrama sama dengan Zara ada memberitahu mahkamah bahawa amalan tersebut dilakukan oleh beberapa pelajar kerana terikut-ikut dengan rakan sebaya dan dianggap sebagai “trend” dalam kalangan mereka.
“Saya sendiri pernah buat tiga kali sebab ikut kawan-kawan,” katanya sambil menambah bahawa guru dan warden sekolah turut mengetahui tentang kewujudan amalan itu, namun beliau tidak pasti bagaimana pihak sekolah mendapat tahu.
Saksi turut mengesahkan bahawa pada malam 15 Julai 2025, beliau bersama beberapa pelajar senior lain telah dipanggil untuk menyelesaikan kes melibatkan Zara berhubung tuduhan mencuri kad bank milik seorang pelajar junior.
Menurutnya, mereka bergilir-gilir menyoal Zara, namun mangsa hanya berdiam diri walaupun dia ditanya sama ada benar mencuri atau tidak.
Saksi berkata, suasana menjadi tegang apabila salah seorang pelajar senior memarahi Zara di hadapan pelajar lain dalam bilik asrama itu.
Sekitar jam 3 pagi, saksi dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan bahawa seseorang telah jatuh dari bangunan, dan beliau kemudian melihat Zara terbaring di bawah asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Selain itu, saksi juga memberitahu mahkamah mengenai kewujudan kumpulan pelajar dikenali sebagai Circle 19, yang mempunyai pakaian khas bertulis “NINETEEN” dan logo “NT”. Menurutnya, beberapa ahli kumpulan itu pernah dipanggil oleh guru disiplin dan kaunselor atas salah laku membawa telefon bimbit ke asrama.
Saksi turut menjelaskan bahawa tindakan pelajar senior menegur atau memarahi junior secara beramai-ramai merupakan “amalan lama” yang diwarisi, dan mereka sendiri pernah menjadi mangsa teguran kasar ketika masih junior.

