PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki tingkatan dua dalam kejadian tragik di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata kejadian berlaku sekitar jam 9.10 pagi di kawasan tandas pelajar perempuan sebelum disedari oleh seorang guru yang terdengar jeritan dari lokasi berkenaan.
“Polis yang tiba di tempat kejadian telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki terlibat. Dua senjata tajam turut dirampas dan dipercayai digunakan dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah berkenaan.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Katanya, jenis senjata tajam yang digunakan masih dalam proses pengesahan lanjut oleh pasukan forensik, manakala motif kejadian masih disiasat.
“Suspek kini ditahan dan akan direman di Mahkamah Petaling Jaya esok (Rabu) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.
Shamsudin turut mengesahkan tiada pelajar lain yang cedera atau menjadi mangsa dalam kejadian tersebut dan keadaan di sekolah kini berada dalam kawalan pihak polis.
Sumber: Sinar Harian

