Site icon TUHAU BAMBANGAN

Inkues Zara: Saksi dedah Zara kurung diri dalam tandas pada malam 15 Julai

KOTA KINABALU: Prosiding hari ke-21 Inkues kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan maklumat baharu apabila seorang saksi pelajar memberitahu bahawa Zara berkurung di dalam tandas pada malam 15 Julai 2025, iaitu malam sebelum arwah ditemui tidak sedarkan diri.

Menurut pasukan peguam keluarga Zara, saksi yang merupakan Deponen Ke-20 dan pelajar senior di sekolah yang sama berkata, beliau mendapat tahu daripada pelajar lain bahawa Zara berkurung di tandas pada malam tersebut.

Sebelumnya, Zara dipanggil oleh sekumpulan pelajar senior dikenali sebagai Circle 19 untuk disoal mengenai kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.

Menurut saksi, sekitar jam 10.00 hingga 11.00 malam, ramai pelajar asrama mengetahui Zara telah dipanggil oleh kumpulan berkenaan dan keadaan menjadi kecoh. Saksi turut memaklumkan bahawa ketika melalui koridor berhampiran bilik dorm Zara, beliau mendengar seorang pelajar junior mengeluarkan kata-kata kesat dalam nada marah: “Itulah mencuri lagi. Pukimak anjing.”

Saksi menyatakan bahawa selepas setiap kali Zara dipanggil oleh pelajar senior, Zara sering kelihatan sedih, kecewa dan tertekan. Malah, beliau mengaku pernah beberapa kali meminta maaf kepada Zara bagi pihak pelajar senior Circle 19 kerana kasihan melihat keadaannya selepas disoal.

Selain itu, saksi mengesahkan bahawa kumpulan pelajar Circle 19 sememangnya terkenal dalam kalangan pelajar asrama kerana sering memanggil dan menyoal pelajar junior yang disyaki terlibat dalam kehilangan barangan. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah menyaksikan sebarang insiden pukul atau kekerasan terhadap Zara, dan hanya mengetahui kejadian malam itu melalui cerita pelajar lain.

Saksi turut menceritakan bahawa sekitar jam 3.50 pagi pada 16 Julai 2025, beliau dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan seorang pelajar telah ditemui tidak sedarkan diri di asrama. Kemudian, saksi mengetahui pelajar tersebut ialah Zara yang dibawa ke hujung asrama sementara menunggu ambulans tiba.

Prosiding akan bersambung esok dengan pemeriksaan dokumen forensik hari kedua oleh pasukan diketuai Madam Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Shuhaila Mat Desa.

Orang awam serta media diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap subjudis sementara prosiding inkues masih berjalan.

Exit mobile version