KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya laporan yang tular di media sosial mendakwa kerajaan China telah mengeluarkan “amaran keras” kepada Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu bekalan air.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, pihak Konsulat menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar dan bersifat fitnah, sambil menjelaskan bahawa tiada sebarang amaran, ancaman, atau nasihat perjalanan pernah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar China di Malaysia mahupun oleh Konsulat Jeneral di Kota Kinabalu terhadap mana-mana pihak berkuasa negeri, termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Sabah Tourism Board.
Kenyataan rasmi ini dikeluarkan susulan penyebaran laporan oleh laman Facebook Ranau Media bertajuk “China nasihat Selesai masalah air jika mahu pelancong terus datang”, yang mendakwa kononnya pihak kedutaan China telah menegur kerajaan Sabah dan memberi amaran akan mengeluarkan nasihat perjalanan sekiranya masalah bekalan air tidak diselesaikan segera.
Konsulat menegaskan bahawa dakwaan itu tidak pernah berlaku dan menggesa semua pihak, khususnya media tempatan, agar melaporkan berdasarkan fakta dan mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.
“Kedutaan Besar China di Malaysia dan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan sebarang ‘amaran’ atau ‘ancaman’ kepada Kerajaan Negeri Sabah, DBKK, atau mana-mana pihak lain mengenai isu bekalan air,” jelas kenyataan itu.
Konsulat Jeneral turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara China dan Malaysia, khususnya dalam bidang pelancongan, perdagangan, dan kebudayaan, termasuk memperluas kerjasama antara China dan Sabah melalui pertukaran rakyat serta program peringkat tempatan yang saling menguntungkan.
Dalam masa yang sama, pihak Konsulat menyeru agar media dan orang awam menilai setiap maklumat dengan berhati-hati sebelum menyebarkannya, bagi mengelak kekeliruan awam dan menjaga keharmonian hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

