Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: Pengundi muda diseru buat pilihan bijak

KOTA KINABALU: Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor menyeru golongan muda yang mewakili hampir separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah agar membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.

Berucap pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini, Hajiji menegaskan bahawa anak muda perlu menilai prestasi kerajaan sedia ada di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah melaksanakan pelbagai dasar dan projek pembangunan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya harap anak muda memberi peluang kepada kerajaan GRS untuk terus melaksanakan hala tuju pembangunan yang telah dirancang demi kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Ini masa untuk membuat pilihan yang bijak,” katanya.

Hajiji turut menekankan kepentingan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) dalam mengekalkan kestabilan politik dan memperkukuh hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, yang disifatkan penting bagi memastikan Sabah terus membangun.

“Kita mahu maju, dan untuk itu kita perlukan sokongan kerajaan Persekutuan. Cukuplah dengan politik emosi dan pergaduhan yang merugikan. Kita mesti pilih kerajaan yang kuat dan berasaskan parti lokal,” jelas beliau.

Menurut Hajiji, kestabilan politik membolehkan kerajaan negeri menumpukan usaha kepada pembangunan ekonomi, teknologi baharu termasuk AI dan TVET, serta memperkukuh perpaduan rakyat.

“Jika kita bersatu, ada kestabilan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan, insya-Allah Sabah akan terus maju dan makmur,” katanya.

Exit mobile version