Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: Pemuda PBS saran SPR perluas kategori Undi Pos untuk pelajar antara Wilayah

KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Shahrun Nidzam Sharoom, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menambah baik pelaksanaan undi pos menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, khususnya bagi pelajar institusi pengajian tinggi yang berada jauh dari kawasan asal mereka.

Beliau berkata, walaupun Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) yang dilaksanakan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, masih terdapat golongan yang terpinggir daripada akses pengundian terutamanya pelajar Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

“Ramai pelajar Sabah dan Sarawak menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi disebabkan jarak jauh, kos perjalanan yang tinggi dan kekangan masa.

“Mereka tidak termasuk dalam kategori undi pos sedia ada kerana hanya pelajar di luar negara layak di bawah Kategori 1B,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar SPR menambah satu kategori baharu pengundi pos bagi pelajar antara wilayah serta mewujudkan sistem pendaftaran khas undi pos dalam talian yang disahkan oleh institusi pengajian tinggi (IPTA/IPTS).

Shahrun turut menyarankan SPR bekerjasama dengan IPTA dan IPTS untuk menubuhkan pusat undi pos di kampus utama atau pejabat hal ehwal pelajar, serta melaksanakan projek perintis (pilot project) bagi menilai keberkesanan mekanisme itu sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Langkah ini bukan sahaja menjamin hak pelajar untuk mengundi tetapi juga menyemai kesedaran sivik dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Ia selaras dengan semangat Perlembagaan Malaysia yang menegaskan hak setiap warganegara untuk mengundi,” tambahnya.

SPR dijangka bermesyuarat pada 16 Oktober ini bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRN Sabah ke-17.

Exit mobile version