PITAS: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas berenang untuk mengejar perahu hanyut ketika memanah ikan di perairan Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas, ditemui meninggal dunia pada pagi Jumaat (10 Okt), dua hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa lelaki tempatan berusia 42 tahun itu dilaporkan hilang pada 9 Oktober 2025 jam 8.00 pagi, selepas perahunya hanyut ketika aktiviti memanah ikan bersama seorang rakan.
Komander Operasi, PBK I Farro Rynson Gusar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, berkata rakan mangsa sempat naik ke atas bagang untuk menunggu, namun selepas sekian lama, mangsa tidak kembali ke permukaan.
“Menurut pengadu, mangsa cuba mengejar perahu yang hanyut, tetapi selepas beberapa lama dia tidak kelihatan. Penduduk kampung kemudian menjumpai perahu tersebut di Pantai Terungguh, namun mangsa tidak ditemui,” katanya.
Susulan laporan kehilangan itu, operasi SAR segera digerakkan dengan penyertaan pelbagai agensi termasuk APMM, PDRM, APM, KKM serta penduduk kampung.
Pada hari kedua operasi, sekitar jam 7.36 pagi (10 Oktober), pihak bomba menerima maklumat daripada penduduk kampung bahawa mangsa telah ditemui tidak bernyawa di kawasan bagang, lokasi asal dia dilaporkan hilang.
“Keluarga mangsa mengesahkan identiti mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba untuk membantu membawa mayat ke tepi pantai menggunakan bot penduduk. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pitas bagi tindakan lanjut,” jelas Farro.
Mayat mangsa ditemui di kedudukan 06°43.252’ Utara, 116°54.385’ Timur, kira-kira 4.4 kilometer Barat Daya Pantai Torunggug, Pitas. Operasi SAR yang disertai lima anggota BBP Pitas bersama agensi bantuan lain ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.15 pagi.
JBPM menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti laut, terutama di kawasan berarus deras dan berisiko tinggi.

