Site icon TUHAU BAMBANGAN

Permohonan undi pos PRN Sabah ke-17 dibuka mulai 13 Oktober – SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan bahawa permohonan undi pos bagi semua kategori pemilih untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) akan dibuka mulai Isnin, 13 Oktober 2025.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, dalam kenyataan rasmi pada Jumaat (10 Okt) berkata, permohonan tersebut melibatkan tiga kategori utama.

Kategori tersebut termasuklah, Kategori 1A – Anggota Polis, Anggota Tentera, Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR dan Petugas Media; Kategori 1B – Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara; dan Kategori 1C – Agensi atau organisasi yang berdaftar.

“Semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian (online) melalui pautan rasmi SPR di https://myspr.spr.gov.my.

“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos perlu mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan,” katanya.

Menurut beliau, tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak, sementara orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 03-8892 7080 atau 03-8892 7218 untuk maklumat tambahan.

SPR turut menasihati semua pemilih yang layak supaya membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan menjelang hari pengundian PRN Sabah ke-17.

Exit mobile version