Site icon TUHAU BAMBANGAN

Frankie, Liau tinggalkan DAP Sabah, kepimpinan baharu janji terus fokus berkhidmat

KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, menghormati keputusan Datuk Frankie Poon dan Liau Fui Fui yang memilih untuk meninggalkan parti bersama cawangan masing-masing, sambil menegaskan bahawa kepimpinan baharu DAP Sabah akan terus fokus berkhidmat kepada rakyat dan memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.

Dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini, Phoong menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua bekas pemimpin berkenaan atas khidmat serta sumbangan mereka sepanjang bersama DAP Sabah.

“Kami mengucapkan terima kasih atas jasa dan dedikasi mereka terhadap parti serta masyarakat Sabah. DAP Sabah mendoakan yang terbaik untuk mereka dalam apa jua usaha selepas ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa DAP Sabah kini akan menumpukan perhatian terhadap usaha membangunkan komuniti, khususnya di kawasan Sandakan, dengan kepimpinan yang diterajui oleh Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

“Saya telah berbincang dengan Vivian Wong dan saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinannya untuk mengukuhkan jentera parti di Sandakan.

“Kami akan terus membawa idea serta perkhidmatan berorientasikan rakyat dan kekal bekerja keras di lapangan,” jelas Phoong.

Mengulas lanjut, beliau berkata kepimpinan DAP Sabah komited untuk bekerja dengan kejujuran, kerendahan hati dan dedikasi dalam meneruskan perjuangan parti demi masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Sabah.

“Bersama-sama, kita akan membuka lembaran baharu yang membawa harapan, ketabahan dan perpaduan kepada seluruh rakyat Sabah,” tambahnya.

Kenyataan itu hadir selepas pengumuman rasmi Datuk Frankie Poon mengenai keputusannya meninggalkan DAP Sabah.

Exit mobile version