KIMANIS: Seorang lelaki cedera selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala rakannya turut cedera apabila kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max Single Cab yang dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Kimanis–Keningau, lewat malam, semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima melalui talian MERS999 pada jam 11.42 malam, sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis digerakkan ke lokasi sejauh 27 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Nazir Chek Lah berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 12.07 tengah malam, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan Isuzu D-Max terbabas di bahu jalan dengan dua lelaki di dalamnya.
“Seorang mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan, manakala seorang lagi tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berusia 42 tahun mengalami kecederaan di tangan kanan, manakala seorang lagi mangsa berusia 26 tahun cedera di bahagian kaki dan kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Operasi turut disertai enam anggota BBP Kimanis bersama sebuah jentera jenis Vigo serta bantuan daripada PDRM (2 anggota) dan KKM (3 petugas).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.11 pagi.
JBPM menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu pada waktu malam dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan seumpama ini berulang.

