Site icon TUHAU BAMBANGAN

Liyana Marzuki bongkar percanggahan individu dakwa diri peguam

KOTA KINABALU — Seorang individu yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai peguam kini menjadi perhatian ramai selepas beberapa kenyataannya didapati bercanggah dan tidak konsisten, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap kredibiliti serta latar profesionalnya.

Dalam satu hantaran yang tular di media sosial, individu tersebut didakwa beberapa kali mengubah-ubah kenyataannya berkaitan status kerjaya dalam bidang guaman. Antara kenyataan yang disebut termasuk, “Saya peguam,” kemudian disusuli dengan “Saya bekas peguam,” “Eh, bila masa saya kata saya peguam ni?”, serta “Saya peguam tapi tak practice.” Malah, individu berkenaan turut dilaporkan berkata, “Nama saya tiada sebab saya sendiri minta keluarkan nama saya. Siapa awak nak persoal ya?” — satu siri kenyataan yang menimbulkan keraguan besar dalam kalangan netizen.

Mengulas isu itu, Liyana Marzuki, seorang pengamal undang-undang dan bekas Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, berkata bahawa konsistensi merupakan asas kepada kredibiliti seseorang, khususnya apabila melibatkan bidang perundangan.

“Dalam mahkamah, kita hendakkan saksi berwibawa, boleh dipercaya dan kredibel. Nak kredibel tinggi kena konsisten — sama saja cakapnya dari mula. Kalau berpusing-pusing dan tidak selari dari awal, itu saksi hauk namanya,” tegas beliau.

Liyana, yang juga berkelulusan Sarjana Undang-undang dari King’s College London, United Kingdom, turut mengingatkan parti-parti politik di Sabah supaya berhati-hati menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dengan memastikan bakal calon yang diketengahkan benar-benar layak dan berintegriti.

“Parti di Sabah perlu berwaspada. Orang akan lakukan due diligence terhadap semua bakal YB. Jangan sekali benarkan calon tidak layak untuk diundi — menangis nanti,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan solidariti kepada para netizen yang mendakwa telah menerima ugutan saman daripada individu terbabit, sambil memaklumkan bahawa ramai rakan pengamal undang-undang di Sabah termasuk bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan bekas pegawai SFC sedia memberi bantuan guaman jika diperlukan.

“Saya menunggu juga kalau individu itu berani saman Asiah Jalil atau saya sendiri. Baru saja menang satu kes saman fitnah menentang seorang doktor sains politik. Ada lah modal nak pusing lagi. In sya Allah, ready to rumble,” katanya bersahaja namun tegas.

Isu ini terus menjadi topik hangat di media sosial apabila ramai warganet mempersoalkan tahap kelayakan dan integriti individu tersebut — apatah lagi di ambang PRN-17, di mana kredibiliti calon semakin menjadi tumpuan utama pengundi.

Exit mobile version