Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan menegaskan bahawa Sabah perlu mencontohi langkah Sarawak dalam memperkukuh autonomi dan pemerintahan sendiri, dengan menekankan kepentingan untuk membentuk kerajaan negeri yang dipimpin sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa (7 Okt), Jeffrey menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini telah disalah tafsir, namun penjelasan terbaharu ini menegaskan visi STAR untuk membina sebuah kerajaan Sabah yang benar-benar berteraskan kepimpinan tempatan.
Menurutnya, Sarawak menjadi contoh jelas bagaimana sebuah negeri dapat memperkukuh autonomi apabila parti-parti tempatan sepenuhnya menguasai tampuk pemerintahan tanpa kehadiran parti-parti dari Semenanjung Malaysia dalam kerajaan, kecuali sebagai pembangkang.
Beliau menyifatkan pendekatan Sarawak itu sebagai model pemerintahan yang berdaulat, di mana kerajaan serantau dibina dan dipimpin oleh rakyat sendiri serta bertanggungjawab sepenuhnya kepada mereka. Jeffrey menekankan bahawa Sabah juga perlu berpegang pada prinsip yang sama dalam menentukan masa depannya.
“Inilah model yang kita bina di Sabah. Sebagai Kerajaan Wilayah Sabah, bila ada keperluan, kita akan berkerjasama dengan kerajaan persekutuan. Tetapi, Sabah mesti ditadbir oleh rakyat Sabah, melalui parti-parti tempatan Sabah. Hubungan kita dengan pihak lain mestilah sentiasa berdasarkan kesaksamaan dan rasa hormat, tetapi tidak sekali-kali tunduk,” katanya.
Jeffrey turut menegaskan bahawa Sabah perlu membuat keputusan sendiri tanpa bergantung kepada pihak luar, sama seperti Sarawak menentukan hala tujunya sendiri.
“Pendirian kita jelas. Sabah mesti membuat keputusan untuk Sabah, sama seperti Sarawak membuat keputusan untuk Sarawak. Zaman kebergantungan telah berakhir. Zaman maruah telah bermula,” tegasnya.

