Kota Kinabalu: Kehadiran Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin, dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mencetuskan persoalan baharu mengenai kedudukannya dalam parti dan kemungkinan beliau meninggalkan STAR menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) ini merupakan pertemuan pertama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta keputusan STAR dan SAPP untuk keluar daripada gabungan berkenaan baru-baru ini.
Kehadiran Ellron menarik perhatian ramai kerana beliau sebelum ini telah mengumumkan pendirian untuk kekal menyokong GRS bersama empat lagi wakil rakyat STAR, sekali gus memperlihatkan perbezaan pendirian dalam kepimpinan parti tersebut.
Langkah ini mencetuskan spekulasi politik bahawa Ellron mungkin mengambil haluan sendiri berasingan daripada kepimpinan tertinggi STAR yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Selain Ellron, mesyuarat berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan utama parti-parti komponen GRS termasuk Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin; Presiden PCS, Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Rina Jainal; dan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Mesyuarat AMT GRS kali ini dilihat penting dalam merangka strategi gabungan tersebut selepas perubahan landskap politik Sabah, selain mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti komponen yang kekal setia bersama GRS menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Kehadiran Ellron di SICC secara terbuka juga dilihat sebagai isyarat politik signifikan yang boleh memberi kesan terhadap hala tuju STAR dalam PRN akan datang.

