Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru rakyat Sabah agar terus memberikan mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, yang membuka laluan kepada rakyat untuk sekali lagi menentukan hala tuju masa depan negeri melalui proses pilihan raya.
Menurutnya, sejak diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-16, kerajaan di bawah pimpinan GRS telah menunjukkan keupayaan mentadbir negeri dengan penuh tanggungjawab dan stabil. Dalam tempoh penggal ini, GRS berjaya meletakkan asas kukuh melalui pelaksanaan Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada pembangunan seimbang merangkumi kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Di bawah kepimpinan GRS, Sabah telah menyaksikan pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana yang membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi rakyat.
“Pelbagai inisiatif sosial turut dilaksanakan, termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas luar bandar serta penambahbaikan sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut menekankan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang telah memastikan lebih banyak peruntukan disalurkan ke Sabah untuk pembangunan jangka panjang. Katanya, kerjasama harmoni antara dua peringkat kerajaan ini merupakan kunci kepada kemajuan yang dikecapi rakyat Sabah dalam tempoh lima tahun lalu.
Dengan berakhirnya penggal pentadbiran ini, Nizam menyeru seluruh rakyat agar mengekalkan kestabilan politik dengan memberikan mandat yang kukuh kepada GRS. Jelasnya, hanya melalui kestabilan dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, pelan pembangunan negeri dapat diteruskan demi masa depan rakyat dan kemajuan Sabah secara menyeluruh.
“Demi kestabilan. Demi kemajuan. Teruskan mandat kepada GRS,” tegasnya.

