Site icon TUHAU BAMBANGAN

2 pelancong warga China hilang di Pulau Mantanani

Kota Belud: Dua pelancong warga China dilaporkan hilang di Pulau Mantanani selepas gagal dikesan keluar dari penginapan mereka sejak 5 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.25 pagi daripada Balai Polis Kota Belud yang memaklumkan mengenai kehilangan dua individu terbabit. Mereka masing-masing merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa telah menginap di Sutera Mantanani pada 4 Oktober dan sepatutnya mendaftar keluar sehari kemudian. Namun, sehingga kini mereka tidak keluar dari pulau berkenaan serta tidak dapat dikesan.

“Barangan peribadi mereka turut ditemui masih berada di dalam bilik penginapan, menimbulkan kebimbangan kemungkinan mereka hilang di kawasan pulau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat, seramai 20 anggota bomba dari BBP Kota Belud bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pasukan penyelamat menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah “water surface” di kawasan persisiran Pulau Mantanani bagi mengesan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa. Namun, sehingga petang kelmarin, kedua-duanya masih belum dijumpai.

Operasi SAR pada hari ini ditangguhkan pada jam 6.00 petang dan akan disambung semula hari ini.

Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, perkembangan operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa, dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

Exit mobile version