Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai projek air secara berperingkat dan terancang bagi memastikan bekalan air di seluruh Sabah dapat diselesaikan secara menyeluruh, walaupun tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat.
Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, Hajiji menjawab kritikan segelintir pihak yang sering mempersoalkan kelewatan projek air dengan nada sinis tetapi tegas.
“Setiap hari ada yang petik nama saya kenapa lambat siap. Kami tiada kayu sakti buat hari ini esok terus siap. Tapi saya senaraikan projek-projek air yang sedang dan telah dilaksanakan supaya rakyat tahu, memang ada kemajuan,” katanya.
Antara projek besar yang sedang berjalan termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon II di Papar dan Empangan Air Cinta Mata di Tawau yang dijangka siap pada 2026, serta Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan Air Ulu Padas yang dijangka siap pada 2030 dengan kapasiti 6,000 juta liter sehari untuk memenuhi keperluan jangka panjang Pantai Barat Sabah.
Selain itu, Sistem Bekalan Air Luar Bandar Pitas dan Loji Rawatan Air Tuaran kini hampir siap, manakala beberapa projek lain seperti pembinaan tangki simpanan di Sandakan, sistem retikulasi di Semporna, projek muka sauk baharu di Limbahau serta loji baharu di Banggi turut sedang dilaksanakan mengikut jadual.
Hajiji turut menegaskan bahawa banyak projek telah siap dan kini memberi manfaat kepada rakyat.
Antara yang telah disiapkan termasuk Loji Rawatan Air Simpangan di Kota Marudu (Mac 2023), Kundasang (November 2023), Telibong I (Januari 2023), Telibong II (Februari 2024), Kasigui (Ogos 2025), Beaufort II (2021), Dewata Lahad Datu (2024), Semporna (2021), Apin-Apin Keningau (2022) serta Ulu Mamut Ranau dan Kasigui yang disiapkan pada tahun ini.
Menurutnya, kenyataan pihak tertentu yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah air dalam masa setahun sebenarnya merujuk kepada projek-projek kerajaan yang sedang berjalan ketika ini.
“Mungkin ini yang dimaksudkan mereka. Projek-projek ini bukan diumumkan semalam, tapi telah lama dalam perancangan dan kini sedang bergerak dengan jelas,” ujarnya.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada penyelesaian isu air secara realistik melalui pelaksanaan projek jangka pendek dan jangka panjang, dengan matlamat memastikan keperluan air rakyat Sabah dipenuhi secara berperingkat dan mampan.

