Tawau: Pelaksanaan inisiatif penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan membuktikan keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap keperluan rakyat, khususnya kepada golongan belia baru mendirikan rumah tangga yang berdepan tekanan kos sara hidup dan kekangan tempat tinggal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu akan meningkatkan jumlah unit Rumah Mesra SMJ kepada 50 buah bagi setiap DUN, berbanding 40 unit pada masa ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada anak muda yang baru mendirikan rumah tangga, tetapi juga menjadi bukti nyata keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
“Ia mencerminkan keikhlasan dan keberanian kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif di bandar mahupun luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan negeri yang menggabungkan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta merupakan langkah bijak yang mempercepatkan pelaksanaan projek perumahan, di samping membolehkan sumber kewangan negeri difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Nizam menegaskan bahawa kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini bahawa agenda SMJ bukan sekadar slogan politik, sebaliknya merupakan pelan tindakan menyeluruh yang dilaksanakan secara konsisten berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda, perlu melihat langkah ini sebagai bukti jelas bahawa kerajaan GRS bekerja dengan ikhlas dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji,” tegasnya.

