Pitas: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil pendirian terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang berhasrat untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa gabungan itu tidak akan menghalang atau mendesak parti-parti komponen untuk kekal, sebaliknya menyerahkan keputusan tersebut kepada kebijaksanaan parti masing-masing.
Menurut Hajiji, keyakinan terhadap kekuatan GRS tidak pernah goyah walaupun terdapat kemungkinan beberapa parti mengambil keputusan untuk bertanding secara bersendirian.
Beliau berkata, kekuatan gabungan itu terletak pada kerjasama erat antara parti-parti komponen serta sokongan padu rakyat Sabah terhadap GRS.
Katanya lagi, kerjasama baik antara GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal kukuh, dan semangat muafakat ini akan menjadi tonggak utama gabungan tersebut dalam menghadapi PRN17 akan datang.
“Insya-Allah, kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali PBS masih kukuh, dan saya yakin GRS akan terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah. Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) di Kampung Taka, Pitas, hari ini.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menegaskan bahawa pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sepanjang hampir lima tahun ini membuktikan keupayaan kerajaan negeri dalam memulihkan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa mandat besar yang diberikan rakyat kepada kerajaan GRS sejak September 2020 telah diterjemahkan secara konsisten melalui pelbagai inisiatif pembangunan berimpak tinggi.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran serta kritikan, kepimpinan kerajaan negeri kekal teguh melaksanakan amanah rakyat demi memastikan kemajuan Sabah dapat dicapai secara menyeluruh.
Hajiji menegaskan bahawa dasar SMJ bukan sekadar slogan politik, sebaliknya ia merupakan pelan tindakan menyeluruh yang telah menunjukkan hasil nyata di lapangan.
Menurutnya, keberkesanan dasar tersebut dapat dilihat melalui pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin baik, peningkatan pelaburan, penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan program pembangunan rakyat yang berterusan.
Beliau yakin dengan kesinambungan pelaksanaan dasar ini, Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang maju dan sejahtera.

