Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tamu Suara 360 terus dekati anak muda seluruh Sabah, program serentak di 5 lokasi hari ini

Kota Kinabalu: Program dialog interaktif Tamu Suara 360, inisiatif yang bertujuan mengangkat aspirasi serta suara anak muda Sabah, diteruskan dengan penganjuran secara serentak di lima lokasi utama seluruh negeri hari ini, melibatkan kehadiran lebih 2,000 peserta.

Lima lokasi penganjuran tersebut termasuklah Kunak, Kota Kinabalu, Penampang, Beluran dan Kota Belud.

Di Kunak, program berlangsung di Dewan Tertutup Kunak bersama panel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, manakala di Kota Kinabalu, sesi diadakan di Sipadan 3, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan kehadiran Datuk Fairuz Renddan selaku panel.

Penampang pula menjadi lokasi penting dengan penganjuran di Dewan Hongkod Koisaan KDCA bersama panel Datuk Firdaus Akbar Khan, dan turut diserikan kehadiran tokoh masyarakat tersohor, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Sementara itu, Dewan Terbuka Beluran menjadi lokasi bagi sesi bersama panel Datuk Samad Jambri, manakala Dewan Serbaguna Kg. Taun Gusi, Kota Belud menjadi pentas dialog bersama Datuk Mohd Arsad Bistari.

Penganjuran serentak ini membuktikan komitmen berterusan kepimpinan negeri untuk mendengar secara langsung pandangan, cadangan dan aspirasi anak muda Sabah.

Melalui pendekatan dialog dua hala, para peserta muda diberikan ruang untuk menyuarakan idea dan isu yang dihadapi di peringkat akar umbi, sementara para pemimpin tampil sebagai pendengar dan rakan strategik dalam mencari penyelesaian bersama.

Program ini menjadi wadah penting bagi merangsang percambahan idea segar serta membuka laluan baharu dalam membina komunikasi efektif antara kerajaan dan generasi muda.

Kepelbagaian latar belakang peserta serta kehadiran pemimpin-pemimpin berprofil tinggi dan tokoh masyarakat menyerlahkan kesungguhan untuk menghimpunkan pandangan anak muda di bawah satu platform inklusif.

Kehadiran Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Penampang memberikan makna simbolik terhadap pengiktirafan terhadap peranan dan suara belia dalam membentuk masa depan Sabah. Penganjuran serentak di lima lokasi ini juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menterjemahkan aspirasi belia ke dalam bentuk dasar, pembangunan serta inisiatif yang memberi kesan nyata kepada komuniti.

Selepas siri hari ini, Tamu Suara 360 akan diteruskan ke beberapa lokasi baharu, termasuk sesi di Wisma Wanita Kota Kinabalu pada 8 Oktober, sebelum kemuncak program bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Siri jelajah ini dijangka terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan belia negeri.

Sehingga kini, Tamu Suara 360 telah berjaya menghimpunkan lebih 6,000 peserta di seluruh Sabah sejak ia dilancarkan.

Program ini bukan sekadar platform dialog, tetapi merupakan satu gerakan aspirasi anak muda yang berfungsi sebagai jambatan strategik antara kepimpinan negeri dengan generasi pewaris masa depan. Ia mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan suara belia bukan sahaja didengar, tetapi juga diraikan dan diangkat sebagai sebahagian penting dalam hala tuju pembangunan Sabah.

Exit mobile version