Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tambahan 10 unit Rumah SMJ setiap DUN untuk belia baru kahwin mulai tahun depan

Pitas: Kerajaan Negeri Sabah akan menambah sebanyak 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga bermula tahun depan.

Dengan tambahan tersebut, sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN pada tahun 2026, berbanding 40 unit pada tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan anak muda yang baru berkahwin, terutamanya mereka yang masih tinggal bersama keluarga kerana kekangan kewangan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka, di sini.

Hajiji turut menekankan kepentingan projek perumahan dan kedai Kampung Taka yang dijangka memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

“Projek yang dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan dan pihak swasta itu akan melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah, merangkumi rumah berkembar setingkat dan rumah teres setingkat, serta 171 unit kedai termasuk pejabat dua tingkat, superstore, showroom dan kiosk. Projek ini dibangunkan di atas tanah seluas 37.6 ekar milik LPPB,” jelasnya.

Menurutnya, projek ini bukan sahaja akan membantu masyarakat memiliki kediaman sendiri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta merancakkan kegiatan perniagaan dan perkhidmatan di kawasan tersebut.

Ketua Menteri berharap projek tersebut dapat dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual yang ditetapkan supaya keperluan rakyat luar bandar dapat dipenuhi dengan berkesan.

Katanya, pendekatan kerjasama awam-swasta bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kewangan negeri difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat.

Dalam ucapannya, Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan mana-mana daerah di Sabah, termasuk daerah Pitas.

“Sejak lima tahun lalu, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di daerah itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memajukan kawasan luar bandar,” katanya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan kelulusan pembinaan beberapa projek baharu di Pitas, antaranya mini kompleks sukan, terminal bas awam bernilai RM1 juta serta rumah budaya di Dataran Pitas dengan kos RM1.4 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang yang dilaksanakan bersama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat yang terbengkalai sebelum ini. Projek tersebut akan dihidupkan semula bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Hajiji juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Industri Getah Sabah (SAFODA) berhubung sebidang tanah yang dimohon oleh rakyat untuk dikeluarkan daripada kawasan agensi berkenaan di Pitas.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut menyerahkan sebanyak 468 geran tanah kepada para penerima melibatkan keluasan keseluruhan 1,273.432 hektar. Daripada jumlah itu, sebanyak 228 geran adalah di bawah Program Pengukuran Tanah Anak Negeri (Pantas) dengan keluasan 863.735 hektar, manakala 239 geran tanah adalah bagi permohonan tanah (NT) melibatkan keluasan 406.11 hektar.

Turut diserahkan satu geran tapak Balai Polis Pitas dengan keluasan 3.587 hektar.

Hajiji menegaskan bahawa semua inisiatif ini adalah bukti nyata kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan seimbang dapat dilaksanakan di seluruh Sabah, termasuk kawasan luar bandar.

Pendekatan ini juga selaras dengan matlamat utama kerajaan untuk memperkasa ekonomi rakyat, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memperkukuh infrastruktur demi mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya.

Exit mobile version