Lahad Datu: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 14 tahun selepas disyaki terlibat dalam satu kes merusuh yang menyebabkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun cedera di bahagian muka dan kepala, dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah di Lahad Datu pada 27 September lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kedua-dua suspek telah ditahan pada 30 September 2025 oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu bagi membantu siasatan lanjut.
“Mangsa telah dipukul oleh sekumpulan individu dan mengalami kecederaan di bahagian muka serta kepala. Dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis (2 Okt).
Menurut ACP Dzulbaharin, pihak polis masih mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi membolehkan semua pelaku dihadapkan ke muka pengadilan.

